PENDAHULUAN
Alhamdulillah kita masih dipanjangkan umur untuk menjejakkan kaki ke gerbang Ramadhan tidak lama lagi. Macam mana dengan puasa tahun lepas? puasa penuh sebulan? Jika adik-adik menghadapi keuzuran untuk berpuasa pada Ramadhan lalu, maka diwajipkan untuk adik-adik untuk menqadha (ganti) puasa. Sekiranya adik-adik gagal mengqada puasa tersebut sehingga tiba Ramadhan kali ini maka adik-adik dikenakan 'denda' disebabkan kegagalan menqada puasa tersebut. Jadi dalam kesempatan ruang Syaaban yang masih tinggal beberapa hari lagi ini, eloklah disegerakan ganti puasa tersebut. Jadi, dikesempatan ini ustaz ingin berkongsi kepada adik-adik semua berkaitan dengan 'denda' puasa yang ustaz sebutkan tadi.
Orang yang meninggalkan puasa dengan sebab apa pun, dia diberi kelapangan masa untuk mengqada' puasanya itu, asalkan tidak lewat sehingga masuk bulan Ramadan yang berikutnya.Seandainya masih belum mengqada puasanya lagi dan masuk bulan Ramadan yang berikutnya, maka dia dikenakan fidyah sebanyak satu cupak bagi setiap hari yang ditinggalkannya serta qada'nya sekali.
Allah berfirman yang bermaksud:
" Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin".
(QS 2: 184).
MAKSUD FIDYAH
Menurut Dr Mustafa al-Bugha (al-Fiqh al-Manhaji - 1/350 ) :-
" Jika di tidak melakukan puasa dan meringan-ringankan sehingga masuk Ramadhan yang lain, ini merupakan satu dosa, maka memerlukan dia membayar fidyah, iaitu memberi makan setiap hari yang ditinggalkan sebanyak satu mudd, kepada orang2 yang memerlukan yang tinggal dinegaranya, bersedekah keatas fuqara"
Maksudnya Fidyah ialah memberi makan kepada orang miskin sebanyak satu mudd (cupak) beras (atau apa-apa makanan yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri itu) bagi satu hari yang ditinggalkan.
Contoh negara dan makanan asasi
- Negara Asia = Beras
- Negara Eropah = Gandum
Sebelum kita pergi lebih lanjut, marilah kita lihat hukum-hukum kerana meninggalkan puasa.
HUKUM-HUKUM KERANA MENINGGALKAN PUASA
Hukum-hukum kerana meninggalkan puasa terbahagi empat( 4 ) :
1. Wajib Qadak .
2. Wajib Qadak dan Membayar Fidyah .
3. Tidak Wajib Qadak.
4. Tidak Wajib Qadak tetapi Wajib Membayar Fidyah.
1. Wajib Qadak dikenakan ke atas orang yang meninggalkan puasa kerana
- Kedatangan haid dan nifas .
- Sakit yang membahayakan .
- Tersangat lapar dan dahaga .
- Dalam perjalanan .
- Pitam.
- Mabuk.
- Mengandung .
- Menyusukan anak -- dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan diri masing-
masing.
2. Wajib Qadak dan Membayar Fidyah dikenakan khusus kepada:
- Orang yang mengandung dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan anak
masing-masing. - Orang yang menyusukan anak dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan
anak masing-masing .
3. Tidak Wajib Qadak khusus kepada orang yang meninggalkan puasa kerana:
- Kafir (tidak beragama Islam) .
- Kanak-kanak .
- Gila .
4. Tidak Wajib Qadak tetapi Wajib Membayar Fidyah khusus dikenakan ke atas orang
yang meninggalkan puasa kerana:
- Sakit yang tidak ada harapan sembuhnya .
- Tua yang tiada kuasa (daya) berpuasa.
TEMPOH QADAK PUASA
Tempoh Qada' puasa bermula pada 2 Syawal hingga 29 Syaaban iaitu tidak termasuk 'hari Syak' iaitu hari yang diharamkan berpuasa dan juga hari-hari lain yang diharamkan berpuasa.
“Jangan kamu semua mendahului Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari, melainkan bagi seorang lelaki yang ia sentiasa dengan berpuasa, maka bolehlah dia berpuasa.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Golongan fakir dan miskin sahaja.
KADAR PEMBAYARAN FIDYAH
Anggaran fidyah menurut Dr Mustafa al-Bugha adalah :
"Timbangannya (1 Mudd) : 1 1/3 pound Baghdadi, iaitu bersamaan lebih kurang 600 gram" Atau 1 Mudd adalah bersamaan 15 tahil (566.85gram).
Menurut sumber dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan;
Pengiraan Fidyah (beras) adalah
1 gantang baqdad = 2.7kg
1 cupak beras = 675g atau bersamaan dengan RM 1.30 bagi sehari yang ditinggalkan.
Kadar fidyah bagi tahun 1431H ialah RM 1.80 sehari.
Sumber: Pusat zakat MAIWP http://zakat.com.my/fidyah ).
* Bayaran fidyah mengikut konsepnya adalah berdasarkan nilai beras tempatan yang dimakan oleh masyarakat umum. Namun sekiranya kadar tersebut dinisbahkan kepada beras yang tinggi nilai dan harganya mengikut pemakanan individu adalah lebih afdhal dengan syarat tidak kurang harganya dari harga beras umum.
Ia boleh dibayar dengan duit (sebagaimana pandangan Ibn Taimiyah, Dr Yusuf al-Qaradhawi), dan lebih afdhal menurut Mazhab Syafie diberikan beras.
KAEDAH PENGIRAAN KADAR FIDYAH YANG PERLU DIBAYAR
Seperti contoh:
Seorang itu meninggalkan puasa lima hari pada tahun pertama dan tidak mengqada' sehingga masuk bulan Ramadan tahun kedua maka ini dikenakan qada puasa sebanyak lima hari dan membayar fidyah sebanyak lima cupak.
Lewat 1 Tahun = 1 cupak/hari x 5hari = 5 cupak
Sekiranya gagal mengqada puasa sebelum menjelang Ramadan pada tahun berikutnya maka dia dikenakan lima hari qada puasa dan membayar fidyah sebanyak 10 cupak, memandangkan setahun berlalu tapi tiada kesedaran untuk membayar fidyah yang menjadi hak orang fakir miskin.
Lewat 2 Tahun = 2 cupak/hari x 5hari = 10 cupak
Begitulah seterusnya jika masih juga belum mengqada' puasanya. Maka jumlahkanlah berapa tahun yang belum dijelaskan puasa yang ditinggalkan itu dan berapa pula yang patut dikenakan fidyahnya. Ini bermaksud fidyah itu berganda dua kali ganda setiap tahun yang ditinggalkan/dilengahkan tetapi bilangan puasa yang wajib diganti tetap (sepertimana contoh diatas adalah 5 hari)
Kadar pengiraan fidyah adik-adik boleh kira menggunakan kalkulator di http://www.e-zakat.com.my/baru/ibadah/kalkulator_fidyah.asp
PENUTUP
Allah memberi kelonggaran kepada mereka yang uzur atau bermusafir semasa siang hari Ramadan untuk berbuka puasa. Demikian juga Allah menetapkan golongan yang wajib qada akibat meninggalkan puasa Ramadan.
Ini sebagai mana firman Allah yang bermaksud:
(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan fidyah, maka itu adalah satu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (al-Baqarah: 184)
Puasa adalah kefarduan manakala fidyah adalah hukuman denda yang membawa manfaat kepada golongan fakir miskin.
Ketika memberi kepada fakir miskin dengan kadar yang telah ditetapkan bagi tujuan membayar fidyah memadai dengan niat sahaja.
Bagaimanapun, jika membayar fidyah melalui jawatankuasa masjid atau mereka yang menjalankan tugas berkaitan dengan hal ehwal Islam adalah lebih baik dinyatakan tujuan kita itu.
Sebagai seorang Islam yang mengakui menjunjung perintah Allah janganlah lalai untuk mengqada’ puasa yang ditinggalkan itu. Lagi cepat kita qada’ lagi besar faedahnya yang kita dapati dan ringan penanggungan kita terhadap Allah S.W.T.
Disediakan oleh:
Ustaz Mohd Norul Syawal Ibrahim (SMK Sebauh)
(Bsc.Applied Biology/Islamic Study) USM
Moderator@
Pengerusi RIBAT JAKSA Bintulu
RUJUKAN
Al-Qurannul Kareem
http://soaljawab.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=275&Itemid=85
http://zakat.com.my/fidyah
http://darululumonline.wordpress.com/2010/07/27/cara-tunai-fidyah-puasa/
http://soaljawab.wordpress.com/2007/08/17/puasa-hari-syak/
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm
0 comments