Para peserta kursus bergambar kenangan
Alhamdulillah syukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan rahmat-Nya Kursus Kecemerlangan Kepimpinan Islam dapat diadakan dengan jayanya. Kursus ini adalah anjuran Unit Hal Ehwal Wanita Islam, HEWA-JAKSA PPD Bintulu dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS), BAHARIS, Jabatan Agama Islam dan pelbagai lagi NGO yang membantu secara langsung dan tidak langsung. Program ini telah berlangsung di Mini Auditorium BDA yang terletak bersebelahan Perpustakaan Awam Bintulu.
Tema kursus ini adalah " Kepimpinan Islam Melahirkan Ummah Gemilang" yang menggariskan beberapa beberapa objektif utamanya iaitu:
- Melahirkan pelajar yang mampu memimpin dan menjadi pemimpin yang progresif, efektif dan menarik.
- Mendedahkan para pelajar kepada konsep kepimpinan yang betul berlandaskan syariat Islam.
- Melahirkan individu yang mampu memimpin diri khususnya serta mampu memimpin keluarga, rakan-rakan dan masyarakat secara amnya.
Program ini telah bermula pada kira-kira jam 7.15 pagi sebaik sahaja waktu pendaftaran berakhir. Urusan pendaftaran berjalan dengan lancar walaupun terdapat sedikit kelewatan dari beberapa buah sekolah disebabkan faktor jarak dan pengangkutan. Namun begitu majlis tetap bermula sepertimana yang telah dirancangkan.
Ketibaan peserta ke tempat kursus
Sesi pendaftaran peserta kursus
Sebaik sahaja berakhirnya pendaftaran, majlis diteruskan dengan pembahagian kumpulan LDK. Sesi 'Ice Breaking' dijadikan modul yang pertama yang mana sesi ini dikendalikan oleh para fasilitator PERKEPIS. Dalam sesi 'ice breaking', para peserta diminta memperkenalkan diri masing-masing kepada semua ahli kumpulannya.
Fasilitator PERKEPIS membantu semasa LDK
Sebaik sahaja selesai minum pagi, para peserta berpeluang mendengar ceramah yang sangat menarik bertajuk "Mencontohi Kepimpinan dan Pengurusan Rasulallah SAW dalam Konteks Kepimpinan Kontemporari" yang telah disampaikan oleh penceramah undangan iaitu En. Abdul Rahim Bin Abol dari SMK (A) Matang 2. Beliau telah menyampaikan ceramah dengan penuh semangat sehinggakan para peserta cukup kagum dan terpegun dengan kepetahannya menyampaikan isi kandungan ceramah tersebut.
Sesi ceramah yang disampaikan oleh En. Abdul Rahim bin Abol
Tekun...para peserta khusyuk mendengar ceramah yang disampaikan
Setelah berakhirnya sesi ceramah, para peserta sekali lagi mengikuti slot LDK yang kedua yang mana mereka ditugaskan untuk bersama-sama berbincang berkenaan permasalahan pelajar di sekolah dan mencari idea untuk mengatasinya. Setiap kumpulan perlu menyiapkan tugasan tersebut pada kertas mahjong yang telah dibekalkan dan perlu dibentangkan di hadapan kumpulan yang lain.
Peserta perempuan pun tidak kurang hebatnya.....
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang menipu. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah””. Sahabat bertanya, “Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?”. Nabi saw. menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. (H.R. Ibnu Majah)
SEKIAN.
Moderator; Sebauh, 3.4.2010 2:02 am
0 comments