Al-Fatihah buat mereka yang lebih awal menemui Allah SWT dalam kejadian tanah runtuh pada sabtu 21 Mei yang lepas, jam 2.30 petang. Iaitu sebahagian penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal di Hulu Langat, Selangor. Kita semua bersedih atas musibah ini. Sama-samalah kita mendoakan mereka dan menghulurkan bantuan yang sewajarnya.
gambar kejadian
Mereka adalah golongan yang mulia kerana mereka merupakan anak yatim. Jangan dipandang rendah tentang mereka dan yang menguruskan kebajikan mereka. Buatlah penilaian dengan kayu ukur agama. Nabi SAW sangat sayang kepada kumpulan ini. Diriwayatkan daripada Sahal bin Sa’ad bahawa nabi SAW bersabda:
Aku dan penjaga anak yatim di dalam syurga seumpama ini, dan baginda SAW mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengahnya, dijarakkan di antara kedua-duanya. (Riwayat al-Bukhari)
Mereka juga mulia kerana dijemput oleh Allah Azza wa Jalla lebih awal daripada kita dalam usia muda, lingkungan 8-19 tahun. Ini bererti dosanya belum sebanyak kita yang sudah hidup selama tiga puluh atau empat puluh tahun. Tanggungjawab dan taklifnya juga belum sebanyak kita. Bila semuanya belum banyak, maka kesilapannya juga belum banyak. Sedangkan semua yang kita lakukan di atas muka bumi ini akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 36 bermaksud:
Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan (kerja) hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
Paling utama, mereka mulia kerana kematian mereka dihukumkan sebagai mati syahid. Terdapat dua keadaan syahid; pertama syahid hakiki (sebenar) dan kedua adalah syahid hukmi (dihukumkan). Syahid hakiki adalah mereka terkorban dalam peperangan di jalan Allah SWT. Hukum-hakamnya kita sedia maklum dalam Islam, iaitu tidak perlu dimandikan, tidak perlu dikafankan dan dikebumikan dengan pakaiannya sewaktu syahid. Maknanya ia khusus bagi mereka yang terkorban di medan peperangan untuk meninggikan kalimah Allah SWT. Merekalah yang Allah Azza wa Jalla sebut dalam al-Qur’an antaranya dalam surah Ali Imran ayat 169 bermaksud:
Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka adalah hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.
Adapun syahid hukmi (dihukumkan) tidak sama dengan syahid hakiki dari aspek kafan dan kebumi. Tetapi Islam tetap mengkategorikan sesiapa yang menepati ciri-cirinya, sebagai mati syahid. Ia sebagaimana diriwayatkan oleh Sa’id bin Zaid bahawa dia mendengar nabi SAW bersabda:
Barangsiapa terbunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia syahid, barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya maka dia syahid, barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan darahnya maka dia syahid, dan barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya maka dia syahid. (Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’ie)
Abu Hurairah pula meriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda:
Syuhada’ itu ada lima; mati kerana taun, penyakit dalam perut, lemas, dihempap runtuhan dan di jalan Allah SWT. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Manakala dalam sebuah hadith yang panjang, Jabir bin ‘Atik meriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Syahid itu ada tujuh selain daripada peperangan di jalan Allah; mati kerana taun adalah syahid, mati kerana lemas adalah syahid, mati kerana penyakit bengkak di sebelah badan adalah syahid, mati kerana penyakit dalam perut adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana runtuhan (tertimbus) adalah syahid, dan seorang wanita mati dengan kandungannya adalah syahid. (Riwayat Abu Daud).
Rasulullah SAW menyifatkan mereka sebagai mati syahid, maka kita juga turut menyatakan demikian. Namun para ulama’ menyatakan bahawa ia tidaklah sampai ke darjat mati syahid hakiki yang gugur di medan peperangan di jalan Allah SWT. Cuma, ia menunjukkan fadhilat yang mereka perolehi dan tidak sama dengan kematian biasa. Imam al-Baji (435H) menyatakan bahawa:
Disifatkan sebagai mati syahid kerana mereka menanggung kesakitan yang amat, maka Allah SWT memberikan kelebihan kepada mereka sebagai penghapus dosa dan Allah SWT melipatgandakan ganjaran untuk mereka, sehingga sampai ke darjat para syuhada’.
(sumber : ulasan dari Ustaz anhar bin Opir)
0 comments