1. Pengalaman adalah guru bagi setiap insan. Semakin banyak pengalaman seseorang, semakin banyak dia belajar. Ia ditambah dengan persekitaran yang berbeza-beza yang mampu membentuk pengalaman seseorang. Manusia yang bagus ialah yang sentiasa terikat dengan persekitarannya. Para anbiya’ dan ulama’ adalah mereka yang tidak terpisah dengan persekitaran, mereka sangat responsif mendepani persekitaran masing-masing.
2. Manusia di sekeliling kita sangat pelbagai dan kompleks. Ada yang sensitif, ada yang positif dan tidak kurang yang negatif. Belum lagi yang selamba, yang tiada perasaan pun ada, yang kedekut tidak terkira, yang sentiasa happy wujud juga dan sebagainya. Macam-macam yang kita jumpa. Bagaimana kita berhadapan dengan mereka ya, yang kita juga ada perasaan seperti mereka. Mahu tidak mahu kita mesti berhadapan dengan mereka terutamanya kita sebagai pendidik dan pendakwah. Nabi SAW memuji mereka yang bercampur dengan masyarakat lalu bersabar menghadapi karenah mereka. Diriwayatkan daripada Yahya bin Wathab daripada Syaikh bahawa nabi SAW bersabda:
Apabila seorang muslim bercampur dengan manusia dan bersabar ke atas kesakitan (karenah) mereka lebih baik daripada seorang muslim yang tidak bercampur dengan manusia dan tidak bersabar ke atas kesakitan (karenah) mereka. (Riwayat Tirmizi).
3. Atas asas itu, latihan untuk membentuk kebiasaan diwujudkan. Ia mampu mengelakkan rasa terkejut dan terkasima. Teori tidak sama dengan realiti dan teori juga tidak sama dengan praktikal. Namun teori itu adalah asas kepada praktikal yang berkesan dalam realiti. Ia boleh diibaratkan seperti akidah dan akhlak, di mana akidah adalah teori dan asasnya, maka lahirlah akhlak yang baik ketika berhadapan dengan realiti dunia yang menggoncang berpandukan syariat yang merupakan peraturan. Allah Azza wa Jalla memberikan satu perumpamaan yang menarik kepada kita semua dalam hal ini, firmanNya dalam surah Ibrahim ayat 24-25:
Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).
4. Latihan (praktikal) dalam sejarah
Pertama: Nabi Musa dan mukjizatnya
Nabi Musa diberikan latihan oleh Allah Azza wa Jalla dengan mukjizat yang bakal digunakan untuk meneguhkan dakwahnya. Tujuannya supaya nabi Musa tidak terkejut dan dapat membiasakan diri. Pada mulanya nabi Musa takut dan terkejut tetapi ditenangkan oleh Allah SWT. FirmanNya dalam surah Toha ayat 20-23:
Lalu dia (Musa) mencampakkannya (tongkatnya), maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak pantas. Allah berfirman: Tangkaplah ia, dan janganlah engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal. Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia cahaya putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain. (Berlakunya yang demikian itu) kerana kami hendak memperlihatkan kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar.
Firman Allah SWT dalam surah al-Naml pula ayat 9-10:
Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah yang maha berkuasa, lagi maha bijaksana. Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu, maka apabila dia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak pantas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia (Musa) melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu diseru): Wahai Musa, janganlah takut, sesungguhnya Rasul-rasul itu semasa mengadapku (menerima wahyu), tidak sepatutnya merasa takut.
Kedua: Nabi SAW sebagai pengembala
Nabi Muhammad SAW sewaktu mudanya mengambil upah mengembala kambing penduduk sekitar Mekah. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:
Tiada Allah mengutuskan seorang nabi melainkan dia menjadi pengembala kambing. Berkata para sahabatnya: Dan engkau? Nabi SAW menjawab: Ya, aku pernah mengambil upah mengembalanya daripada penduduk Mekah. (Riwayat al-Bukhari)
Untuk mengembala binatang seumpama kambing, ia memerlukan kesabaran dan kecekapan. Nabi SAW perlu mengurus kambing-kambing ini sebagai satu amanah. Keselamatan perlu dipastikan, jumlahnya ketika dipulangkan perlu sama sewaktu diserahkan, dan tidak boleh sekali-kali leka serta hilang fokus. Ini sebelum diangkat menjadi Rasul supaya lebih bersabar berhadapan dengan pelbagai perangai manusia kelak. Syeikh Muhammad al-Ghazali menyatakan:
Sebagaimana yang telah sabit bahawa beberapa orang nabi kerjanya mengembala kambing. Adakah kamu tidak melihatnya bahawa ia bertujuan untuk membiasakan mereka dalam pengurusan orang ramai, menyayangi golongan yang lemah dan sentiasa memelihara kepentingan mereka? (Muhammad al-Ghazali, Feqh al-Sirah, Dar al-Nahdhah, Mesir, hlmn 61)
Ketiga: Nabi SAW dan Isra’ Mikraj
Nabi SAW juga telah melalui pengalaman sebenar sewaktu peristiwa Isra’ dan Mikraj.
Pengalaman sebenar merupakan kaedah yang paling berkesan dalam pendidikan. Sebelum pengalaman ini, apabila Abu Talib dan Khadijah RA meninggal dunia, orang musyrikin semakin berani mengganggu dan menyakiti nabi SAW. Allah SWT maha mengetahui dan meminta nabi SAW sentiasa bertasbih dan mengerjakan solat. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 97-99:
Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah daripada kalangan orang-orang yang sujud. Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu yakin (kematian).
Nabi SAW telah dijemput oleh Allah SWT untuk bertemuNya dan sepanjang perjalanan itulah Allah menunjukkan pelbagai perkara daripada perkara sam’iyyat. Apa yang telah dilihat oleh nabi itulah yang bakal disampaikan kepada manusia, sama ada cerita syurga atau neraka. Mata nabi SAW tidak akan berdusta terhadap apa yang dilihatnya. Firman Allah Azza wa Jalla dalam surah al-Najm ayat 10-11:
Lalu disampaikan wahyu kepada hambaNya (Muhammad) apa yang telah diwahyukan oleh Allah. Hatinya tidak mendustakan apa yang dilihatnya.
5. Oleh itu, latihan merupakan satu kemestian. Ia membina keyakinan dan jatidiri. Ia juga membuang bimbang dan gementar. Dengan syarat sentiasa mengingati Allah SWT dan sentiasa mendirikan solat. Itulah rahsia kekuatan dalam dakwah dan pendidikan.
6. Pendidik termasuk juga pendakwah perlu menggunakan segala teori yang telah dipelajari sebelum ini, sewaktu berhadapan dengan mad’u atau anak murid. Jangan mengeluh dengan nakal dan teruknya mereka, kerana mereka tidak seteruk Abu Jahal dan Abu Lahab yang telah Allah SWT takdirkan menjadi mad’u nabi SAW. Pasakkan akidah dan cerahkan tauhid di hati mereka. Keluarkan mereka dari belenggu kejahilan. Tunjukkan mereka sinar keadilan Islam. Berjaya menjadikan mereka seorang hamba, maka itulah kejayaan sebenar.
7. Pengalaman latihan ini menjadikan kita seorang yang teguh dan mempunyai pendirian. Tindakan juga akan menjadi lebih matang dan berkesan. Pengalaman ini jugalah yang menjadikan kita menyusun strategi yang lebih baik, disamping mengelakkan kita daripada melakukan kesilapan yang sama untuk kali kedua. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa nabi SAW bersabda:
Seorang mukmin tidak masuk ke dalam lubang yang sama dua kali. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
(Sumber : Ustaz Anhar bin Opir )
0 comments